Port Dickson – Kursus Kepimpinan Belia Cemerlang yang melibatkan 103 peserta lelaki dan 57 peserta perempuan dari Pengerang telah diadakan di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) di Port Dickson pada 22 – 24 Jun 2007.
Antara objektif kursus kepimpinan ini ialah:
• Meneroka potensi diri di kalangan belia
• Menghasilkan pendekatan dan strategi yang berkesan bagi mempertingkatkan kualiti kepimpinan di kalangan belia.
• Menghasil rancangan dan tindakan yang berkesan bagi meningkatkan program persatuan belia.
Pelbagai aktiviti telah diatur bagi membentuk kepimpinan, persefahaman, integrasi dan kerjasama dalam kumpulan. Antaranya ialah slot ceramah yang disampaikan dan dikendalikan oleh En. Audin Bin Husin, Penolong Pengarah (Kepimpinan), Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia Dan Sukan. dan En. Ahmad Yusuf B. Che Rus, Pengarah Latihan Institut Keusahawan, Kementerian Belia Dan Sukan.
Peserta juga didedahkan aktiviti riadah seperti senamrobik dan aktiviti berkumpulan ‘Walk Rally’ seperti Mencipta Lagu dan Bendera Kumpulan, Sungai Asid, Sayang ‘Si Buta’, Flying Fox, Konversasi Alam dan Pertolongan Cemas. Sebanyak 8 kumpulan diwujudkan dan dikendalikan oleh urusetia APBM dan Parlimen Pengerang. Selain itu, pertandingan pakaian tradisional dan persembahan turut diadakan.
Majlis perasmian penutup bagi kursus kepimpinan siri ke-2 2007 itu telah disempurnakan oleh Y.B Tuan Hj. Mohd Dali Bin Husin, Pengarah Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM). Dalam ucapannya, beliau menasihatkan kepada golongan belia agar tidak terjerumus dengan kegiatan sosial yang tidak sihat. Beliau berharap kursus ini membentuk belia parlimen pengerang yang cemerlang, gemilang dan terbilang yang akan menjadi contoh teladan kepada semua belia-belia di parlimen-parlimen lain seluruh Malaysia. Beliau percaya semua ini dapat dicapai dan berjaya jika belia ada kemahuan dan usaha. Kesimpulannya, kursus-kursus seperti ini seharusnya menjadi galakan kepada belia untuk terus meningkatkan lagi ilmu pengetahuan bagi kegunaan masa hadapan.
Turut mengiringi beliau semasa perasmian penutup ialah Y.B En. Roslan Bin Husin, Pegawai Khas Menteri, Kementerian Belia Dan Sukan dan Cik Siti Hawa Binti Hj. Mahpal, Pegawai Pentadbiran Pejabat Parlimen Pengerang.
Syabas diucapkan kepada semua peserta yang menyertai kursus kepimpinan ini!